KUALA LUMPUR 3 MAC 2011: Hampir 6 tahun menggunakan laman sosial Facebook (FB) sebagai penghubung bersama sahabat, penganjur dan peminat, penyanyi Farawahida kecewa apabila akaun peribadi FBnya itu diceroboh oleh individu yang tidak bertanggungjawab.
Terkilan dan kesal dengan apa yang berlaku, penyanyi kelahiran Ipoh, Perak ini berharap teman-teman FB tidak lagi menghubunginya menerusi akaun tersebut.
"Saya bengang dan marah apabila akaun FB saya diceroboh. Saya memang kecewa dengan apa yang berlaku kerana akaun itu saya gunakan untuk berhubung dengan peminat, kawan sekolah dan penganjur yang mahu saya terlibat dalam persembahan-pesembahan nyanyian. Saya tak sangka akan berlaku seperti ini," katanya. bagi menjelaskan mengenai kejadian tersebut.
Telah pun mempunyai lebih 5,000 teman dan peminat menerusi akuan tersebut, Fara menjelaskan, dia menyedari kejadian itu pada hari Selasa lalu.
"Bila saya nak buka FB tersebut dah tak boleh. Kemudian beberapa teman rapat dan ahli keluarga cuba menghubungi saya mengatakan bahawa mereka telah dibuang daripada senarai teman FB saya. Saya sangat terkejut dan kecewa dengan kejadian itu dan tak faham mengapa ada pihak yang sanggup menceroboh akaun FB saya.
"Saya risau individu itu akan buat perkara yang tak elok menerusi akaun itu. Di sini ingin saya jelaskan agar teman rapat, peminat mahupun penganjur supaya tak lagi berurusan menerusi akaun itu," katanya penuh kesal.
Menganggap apa yang terjadi sebagai satu tindakan sabotaj dan khianat, pelantun lagu Tanpamu ini menjelaskan akan mengambil tindakan dalam masa terdekat agar namanya tidak disalah gunakan.
Mala, Fara juga kini telah pun membuka akaun FB yang baru iaitu realfarawahidarazali serta fanpage: farawahidafanz untuk berhubung dengan teman dan peminatnya.
"Saya harap semua teman dalam akaun FB itu akan menghubungi saya menerusi akaun FB saya yang baru. Selain itu mereka juga dapat mengetahui mengenai aktiviti saya menerusi fanpage saya. Tolong jangan lagi berurusan dengan akaun yang lama," ujarnya.
Mengulas tentang perkembangan terbarunya jelas Fara, single terbarunya berjudul Jangan Tanya Aku Lagi ciptaan Adi Sixthh Sense akan menemui peminat pada bulan hadapan, malah dia juga baru sahaja selesai menjalani pengambaran filem komedi arahan Mansor Yaacob berjudul Baik Gila.
"Dalam filem Baik Gila saya ditawarkan membawakan watak Suraya kekasih dan teman kepada Afiq lakonan Zizan. Ini merupakan filem pertama saya dan saya gembira kerana dapat terlibat dalam filem tersebut. Namun minat saya masih lagi pada bidang nyanyian dan lakonan hanyalah sampingan. Nantikan sahaja single baru saya kelak," katanya.
No comments:
Post a Comment